Whippet
Whippet[a] ialah satu baka anjing British daripada jenis anjing pemburu penglihatan. Ia hampir-hampir menyerupai grehaun dan grehaun Itali yang lebih kecil dan ia merupakan pertengahan antara kedua-duanya dari segi saiz. Pada abad kesembilan belas, ia kadang-kadang dipanggil "kuda lumba orang miskin".[6] Ia lazimnya dibela sebagai anjing teman, untuk penunjukan, atau untuk perlumbaan amatur, serta mungkin menyertai pelbagai sukan anjing, termasuk lure coursing, ketangkasan, dan flyball.[7] Ia mempunyai kelajuan larian tertinggi bagi julat berat dan saiznya dan ia dipercayai mempunyai pecutan melahu-kepada-berlari terpantas antara mana-mana anjing.[8] Whippet bercirikan perangai lemah lembut, penyayang, dan tenang. Walaupun santai dan tenteram di rumah, ia menunjukkan paras tenaga tinggi dan keterujaan di ruangan luar.[9] Whippet, yang pada asalnya sebagai anjing pemburu dan anjing lumba, mempunyai naluri pemangsa kuat, yang mungkin menyebabkannya mengejar haiwan kecil. Whippet mempunyai lapis bulu gugur minimum yang mudah diuruskan kerana tekstur pendek dan licinnya dan kekurangan lapis bulu bawah. Walau bagaimanapun, lapis bulu pendek dan paras lemah badan rendah menjadikannya khususnya peka terhadap suhu rendah, maka mungkin memerlukan perlindungan tambahan, seperti jaket anjing, dalam cuaca lebih dingin. Baka ini pada umumnya sihat kerana mendapat manfaat daripada susuk kuat dan atletik dan bebas daripada banyak isu kebakaan yang terlihat pada baka lain. Konsep anjing jenis grehaun daripada pelbagai saiz — besar, sederhana, dan kecil — telah didokumenkan dengan baik dalam panduan perburuan dan karya sejarah semula jadi yang bertarikh sejak Zaman Pertengahan. Pada awal abad ke-15, Edward dari Norwich, Duke York Ke-2, menterjemahkan dan memperbesar Livre de chasse ("Buku Perburuan") karya Perancis dari lewat abad ke-14, iaitu sebuah buku panduan komprehensif tentang arahan untuk perburuan dengan anjing. Dalam karya beliau, beliau menekankan manfaat pembelaan 'grehaun bersaiz besar', 'grehaun bersaiz sederhana', dan 'grehaun bersaiz kecil' untuk pemburuan pelbagai jenis buruan berlainan.[10] Kemudian, pada abad ke-16, pakar perubatan dan ahli akademik Inggeris John Caius merujuk kedua-dua jenis besar dan jenis kecil bagi Leporarius, Grehounde (grehaun) dalam buku beliau De Canibus Britannicis ("Tentang Anjing British").[11] Yang ketara juga, beliau menerangkan suatu jenis yang berhubungan dengan whippet: tumbler, "suatu jenis kecil bagi mungrell greyhounde" yang merupakan anjing pemburu sarang arnab yang digunakan untuk menangkap arnab.[12] Tumbler juga dicatatkan oleh Thomas Brown, seorang kurator dan penyunting Scotland, pada awal abad ke-19.[13] NamaNama "whippet" diterbitkan daripada istilah awal abad ketujuh belas, yang kini lapuk, yang memaksudkan "bergerak laju-laju".[14] Pada era Victoria, para pengarang Inggeris mula memerihalkan baka moden membangun whippet, yang juga dikenali sebagai snap-dog ("anjing bengkeng"), sepatah istilah yang diterbitkan daripada kecenderungannya untuk sedia "membengkeng" mangsa berdekatan kerana dorongan pemangsanya yang tinggi secara semula jadi.[15] Baka ini terutamanya dikembangkan untuk penangkapan arnab, pertandingan coursing, straight racing, dan minat membangun terhadap pertunjukan.[16][17] Sejarah![]() ![]() Whippet, seperti semua anjing pemburu penglihatan lain, dibiakbakakan untuk berburu dengan menggunakan naluri pemangsa dorongan penglihatan, coursing buruan di kawasan terbuka dengan kelajuan tinggi. Banyak perwakilan anjing pemburu kecil mirip anjing pemburu penglihatan dapat ditemukan dalam karya seni Mesir Purba yang bertarikh kembali beribu-ribu tahun dahulu, mungkin menggambarkan bentuk purba bagi grehaun, basenji, anjing pemburu firaun, atau saluki.[18] Di England zaman pertengahan, baka kecil jenis grehaun menjadi popular kerana kegunaan sebagai anjing pemburu tikus. Penggunaan bertulis pertama bagi perkataan whippet dalam bahasa Inggeris, yang merujuk sejenis anjing, adalah pada tahun 1610.[19] Dalam sebuah lukisan oleh Jean-Baptiste Oudry (1686–1755) tentang dua ekor anjing bernama 'Misse' dan 'Turlu', yang dipersembahkan kepada Louis XV, anjing yang dilukis sama ada merupakan whippet atau anjing pemburu penglihatan kecil berlapis bulu licin lain, tetapi kemungkinan besar merupakan bentuk awal bagi whippet.[20] Oudry juga menyelesaikan lukisan kedua tentang Misse dengan baka anjing berbeza yang bukan anjing pemburu penglihatan. Sebuah lukisan tahun 1758 oleh Pompeo Batoni, Portrait of Charles Compton, 7th Earl of Northampton, juga menampilkan seekor anjing serupa mirip whippet.[20] Pada abad ke-19, perlumbaan whippet merupakan sukan popular di banyak bahagian di England.[6][20] Baka ini dipandang tinggi di bahagian utara England, serta di Wales, tetapi pada umumnya dipandang remeh di selebih negara.[20] Pada masa itu, terdapat dua keragaman whippet; salah satu jenis mempunyai lapis bulu lebih licin dan lebih popular di Lancashire, di Yorkshire, dan di Midlands, yang kemudian menjadi whippet moden.[20] Bentuk kedua mempunyai lapis bulu lebih kasar oleh sebab pembiakbakaan silang dengan terier Bedlington. Jenis ini lebih popular di Durham dan di Northumberland dan kerap dirujuk sebagai "anjing arnab".[20] Spesimen awal diambil dari trek perlumbaan oleh penggemar anjing pada masa itu, dan kemudiannya dieksport ke seluruh dunia. John Taylor, seorang pengarang Inggeris, mencatat bahawa "Dalam semua rupa bentuk dan bentuk anjing; daripada semua yang terdapat melainkan dua jenis yang berguna untuk manfaat manusia, yang kedua-duanya merupakan mastiffe dan curre kecil, whippet, atau house-dogge; semua yang lain adalah untuk kenikmatan dan rekreasi."[21] Whippet moden kelihatannya muncul dalam bentuknya pada tahun 1891 apabila The Kennel Club mengiktiraf baka ini secara rasmi. Pengiktirafan ini mengizinkan whippet untuk bertanding dalam pertunjukan anjing dan mempunyai pedigri yang direkodkan.[22] Di Amerika Syarikat, whippet diiktiraf tiga tahun lebih awal, iaitu pada tahun 1888, oleh American Kennel Club (AKC).[22] Baka ini tiba di Amerika Syarikat dari England, setelah dibawa oleh pengendali kilang, dengan populasi pertama yang diasaskan di Massachusetts.[2] Menurut ranking AKC, whippet telah tekal dalam kalangan 60 baka teratas selama dekad terkini, dengan ranking tangga ke-51 pada tahun 2023.[2] Pada tahun 1964, Ch. Courtenay Fleetfoot of Pennyworth si whippet memenangi Best in Show dalam Pertunjukan Anjing Westminster Kennel Club.[23] Kemudian, pada tahun 1992, Pencloe Dutch Gold memenangi best in show dalam Crufts;[24] disusuli oleh Cobyco Call the Tune pada tahun 2004[25] dan Ch. Collooney Tartan Tease pada tahun 2018.[26] Pada tahun 2011, GCh. Starline's Chanel si whippet betina digelar Show Dog of the Year bagi Kumpulan Hound oleh Westminster Kennel Club.[27] PerihalPenampilan![]() Whippet ialah anjing bersaiz sederhana dengan tubuh langsing aerodinamik yang tipikal bagi anjing pemburu penglihatan, yang teradaptasi untuk kelajuan dan ketangkasan. Ia mempunyai dada dalam untuk keupayaan paru-paru cekap, tungkai langsing panjang, binaan sempit dan berotot yang merupakan ciri baka yang dikembangkan untuk larian.[28] Ketinggian unggul untuk betina ialah 44–47 cm (17.5–18.5 in) dan untuk jantan 47–51 cm (18.5–20 in).[29][3] Piawaian American Kennel Club dan Canadian Kennel Club mengizinkan haiwan lebih besar dengan batas atas 55 cm (21.5 in) untuk betina dan 57 cm (22.5 in) untuk jantan.[2][30] Oleh sebab warna dianggap tidak penting dalam penghakiman whippet, ia terdapat dengan pelbagai warna dan corak tanda, berkisar daripada hitam padu hingga putih padu, dengan merah, perang kekuning-kuningan, brindle, biru, atau krim.[29] Pada tahun 2019, The Kennel Club mengumumkan bahawa pihaknya tidak lagi menerima pendaftaran untuk whippet merle kerana ini bukan warna semula jadi pada baka ini.[31][32] Lapis bulunya pendek, licin, dan rapat, yang menyumbang kepada penampilan bergaris arus baka ini.[33] Oleh sebab lapis bulu pendek dan paras lemak badan rendah, whippet bertebat dengan baik terhadap suhu rendah.[33] Walaupun cukup sesuai untuk kehidupan ruangan dalaman kerana keperluan pendandanan minimum dan salin bulu minimum,[34] ia mungkin memerlukan perlindungan tambahan, seperti kot atau baju panas, apabila terdedah kepada cuaca sejuk.[35] Perangai![]() Whippet adalah senyap dan menyendiri, namun juga mempamerkan sisi suka bermain dan memerlukan senaman kerap untuk mengekalkan kesihatan fizikal dan mentalnya.[2][33] Ia pada umumnya merupakan anjing lemah lembut dan kerap berpuas hati untuk meluangkan banyak masa seharian dengan bersantai.[36] American Kennel Club memerihalkannya sebagai anjing yang "tenang dan bermaruah di ruang tamu pemiliknya"[2] dan berkata bahawa ia merupakan "anjing rumah cemerlang".[2] Walaupun bersifat tenang di ruangan dalaman, ia menikmati kegiatan ruangan luaran, terutamanya ledakan singkat larian meledak yang membolehkannya mencapai kelajuan tinggi. Pecutan singkat dan amat ini disusuli oleh tempoh rehat panjang, yang mencerimkan profil bertenaga dan keperluan untuk pemulihan.[37] Ia telah dipanggil "kuda lumba orang miskin" oleh para pelombong batu arang di Lancashire dan di Yorkshire.[6][38] Whippet menjalin ikatan kuat dan menyediakan pengabdian kepada pemiliknya dan, oleh itu, kerap dapat menderitai kebimbangan perpisahan, seperti banyak baka lain apabila ditinggalkan bersendirian.[39] Walaupun tidak cenderung terhadap salakan berlebihan, whippet kadang-kadang bersuara dalam kehadiran penceroboh, lalu menjadikannya anjing pengawas cukup layak sama dengan anjing kecil hingga sederhana lain.[40] Walau bagaimanapun, whippet kurang berkemungkinan menyerang atau melawan sesiapa kerana sikap lemah lembut dan kerap silu dan lebih memilih untuk berundur berbanding dengan menghadap bahaya.[41] Walaupun sikap lemah lembutnya menjadikannya pilihan bagus untuk rumah tangga dengan kanak-kanak atau haiwan peliharaan lain, perlu ada perhatian bahawa whippet memiliki dorongan pemangsa sangat terbentuk.[36][42] Naluri ini, biarpun dapat diuruskan dengan pelaihtan dan sosialisasi betul, dapat menjadikannya cenderung untuk mengejar haiwan kecil, seperti kucing, arnab, atau tupai, terutamanya dalam persekitaran tidak terkawal.[43] Pemilik patut berhati-hati semasa berjalan-jalan atau apabila melepaskannya daripada cawak di kawasan tidak tertutup.[44] Kelajuan dan gaya jalan![]() Whippet terkenal sebagai anjing terpantas dalam kelas beratnya dengan kemampuan untuk mencapai kelajuan sehingga 56 km/j (35 mph),[2] kerana keupayaannya untuk berlari dalam derapan gantung ganda.[45] Gaya jalan distingtif, yang dalamnya keempat-empat tungkai terangkat dari tanah sebanyak dua kali semasa setiap langkah — sekali apabila tungkai sepenuhnya diregangkan dan sekali lagi apabila tungkai dilipatkan ke bawah tubuh — membolehkan kelajuan dan kecekapan maksimum.[45] Sekali dengan binaan berototnya, gaya larian ini memperbaik ketangkasan dan atletisismenya, lalu menjadikannya pesaing amat mahir dalam perlumbaan dan ujian padang.[46][28] Kesihatan![]() Whippet pada umumnya ialah baka sihat, dengan susuk tegap. Setelah dibiakbakakan untuk coursing, kerja, dan perlumbaan selama bertahun-tahun, ia telah mengekalkan binaan yang kukuh dari segi struktur. Sejarah panjang pembiakbakaan terpilih telah membantunya mengelakkan banyak keterlaluan fizikal yang kerap membawa kepada isu kesihatan pada baka lain. Hasilnya, whippet biasanya bebas daripada keadaan kebakaan lazim yang terdapat pada jenis-jenis anjing yang lebih keterlaluan, lalu menjadikannya baka penjagaan agak minimum dari segi kesihatan.[47] Whippet, seperti anjing pemburu penglihatan lain, tidak bertoleransi terhadap anestetik barbiturat. Ini sebahagiannya disebabkan oleh kepekatan lemak badan rendah dan ketidakbolehan hatinya untuk memetabolismekan anestetik ini. Selain itu, hati whippet tidak cukup untuk memproses barbiturat, lalu menjadikannya lebih rentan terhadap tindak balas buruk semasa anestesia.[48] Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 13.4 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[49] Ia pada umumnya sihat dan tidak terdedah kepada jangkitan telinga kerap, alahan kulit, atau masalah pencernaan yang dapat menimpa baka lain. Kecacatan mata genetik, walaupun agak jarang, telah diperhatikan pada baka ini. Displasia pinggul adalah jarang pada whippet, dengan hanya 1.2% daripada 161 penilaian yang dilakukan oleh Orthopedic Foundation for Animals yang ditentukan menghidap displasia.[50] Jantung whippet adalah besar dan berdegup dengan perlahan, kerap menunjukkan pola-pola aritmia atau malah berjeda apabila anjing berkenaan berehat. Trait ini kadang-kadang dapat menimbulkan membimbangkan pemilik atau doktor haiwan yang tidak terbiasa dengan baka ini. Walau bagaimanapun, semasa senaman, jantung whippet menunjukkan rentak nalar dan cekap, yang menyokong kebolehan atletik luar biasanya. Tinjauan kesihatan yang dijalankan oleh The Kennel Club mendedahkan bahawa isu jantung merupakan punca utama kedua bagi mortaliti pada baka ini, yang menegaskan kepentingan pemeriksaan veterinar kerap untuk memantau kesihatan jantung.[51] Kegagalan jantung khususnya lazim dalam kalangan whippet berusia, dengan penyakit injap mitral (MVD) sebagai salah satu keadaan jantung paling prevalen yang menjejaskan baka ini. MVD melibatkan pelemahan dan pencanggaan injap mitral, lalu mencegahnya daripada menutup ketat-ketat, yang membawa kepada regurgitasi mitral (MR) dan peningkatan tekanan pada jantung. Walaupun banyak whippet mempamerkan desir jantung, pembezaan desir fungsian daripada yang berkaitan dengan MR dapat menjadi mencabar, kerana desir fungsian kerap hadir pada anjing sihat dan atletik. Kajian menunjukkan bahawa kaedah penilaian tambahan, seperti ekokardiografi, adalah penting untuk membezakan antara desir fungsian dengan desir yang menunjukkan MVD dalam populasi ini.[52] Sebuah kajian pada tahun 2007 mengenal pasti suatu mutasi miostatin yang spesifik kepada whippet yang berperkaitan kukuh dengan prestasi atletiknya.[53] Whippet dengan satu salinan mutasi ini pada umumnya tidak terjejas, sementara yang mempunyai dua salinan mempunyai perototan yang besar di luar perkadaran dan dirujuk sebagai "bully whippet". Walaupun berpenampilan luar biasa, bully whippet tidak mengalami isu kesihatan ketara selain yang tipikal pada baka ini, namun mungkin lebih terdedah sedikit kepada kekejangan otot.[54] Yang menariknya, mutasi ini tidak pernah diperhatikan pada grehaun, baka anjing pemburu penglihatan lain, atau pada anjing berotot berat seperti buldog, anjing Rottweil, atau terier Staffordshire Amerika.[54] PerlumbaanPerlumbaan anjing pada asalnya merupakan lanjutan bagi coursing kelinci.[55] Whippet mula dibiakbakakan untuk berlumba pada pertengahan abad kesembilan belas dan menjadi popular untuk perlumbaan.[6][20] Bentuk pertama bagi sukan ini ialah versi kasar bagi coursing yang dikenali sebagai ragging dan anjing yang ikut serta dikatakan 'dilatih untuk rag'.[20] Anjing dikekalkan bercawak oleh orang yang dikenali sebagai slip, yang kerap juga menjadi hakim perlumbaan.[20] Slip kemudian melepaskan anjing daripada kolarnya pada masa sama dan ia berlumba ke arah pemiliknya yang berdiri di hujung bertentangan trek sambil melambai tuala untuk menggalakkan anjing berlari ke arah mereka.[20][55] Rag whippet ialah acara popular Ahad di utara dan di Midlands pada masa itu.[20] Terdapat juga acara antarabangsa; di Australia, di trek yang dikenali sebagai Gurney's Paddock, perlumbaan dengan lebih daripada 300 ekor whippet diadakan pada setiap Sabtu, dan tiga malam seminggu di trek White City.[55] Kemudiannya, sukan ini berkembang dan anjing dibahagikan kepada empat kumpulan: anjing yang memburu arnab, yang tidak dikawal oleh peraturan; anjing yang meng-course kelinci, yang untuknya set peraturan ditetapkan; anjing yang dilatih untuk rag; dan anjing yang dilatih untuk mengejar umpan mekanikal dengan cara yang serupa dengan perlumbaan grehaun.[20] Sedikit whippet dalam mana-mana daripada empat kumpulan merupakan anjing baka tulen, kerana pengekalan susur galur baka tulen tidak dianggap sepenting pembiakbakaan anjing yang mampu memenangi perlumbaan.[20] Banyak anjing lumba merupakan sebahagian-terier, sebahagian-grehaun, atau sebahagian-lurcher.[20] Pada tahun 1967, British Whippet Racing Association diasaskan untuk memperkenalkan pembaharuan dan menyeragamkan peraturan dan tatacara perlumbaan untuk perlumbaan yang melibatkan whippet bukan baka tulen.[20] Setahun kemudian, memandangkan anjing bukan baka tulen merupakan ancaman, Whippet Club Racing Association diasaskan untuk mengatur perlumbaan yang eksklusif untuk whippet baka tulen.[20] Catatan
Rujukan
|