Springerspaniel Inggeris atau springer spaniel Inggeris[a] ialah satu bakagundog dalam keluarga spaniel yang secara tradisional digunakan untuk penggarahan dan pengutipan buruan. Ia diturunkan daripada spaniel Norfolk atau spaniel Shropshire dari pertengahan abad ke-19; baka ini telah mencapah kepada susur galur pertunjukan dan susur galur pekerja. Ia sangat berkait rapat dengan springerspaniel Wales dan sangat dekat dengan kokerspaniel Inggeris; kurang daripada seabad lalu, springerspaniel dan kokerspaniel lahir dalam perinduk sama. "Kokerspaniel" atau "cocker spaniel" digunakan untuk memburu woodcock sementara rakan seperinduk lebih besar digunakan untuk menggarah, atau "men-spring", unggas buruan lain. Pada tahun 1902, The Kennel Club mengiktiraf springerspaniel Inggeris sebagai baka tersendiri.[1] Ia digunakan sebagai anjing penghidu pada skala besar.
Perihal
Seekor springerspaniel Inggeris baka padang
Springerspaniel Inggeris ialah anjing padat bersaiz sederhana. Lapis bulunya sederhana panjang dengan jumbai pada tungkai dan ekor. Ia merupakan anjing berperkadaran baik dan seimbang dengan ekspresi lemah lembut. Baka ini mungkin mewakili pencapahan terbesar antara susur galur pekerja dengan susur galur pertunjukan bagi mana-mana baka anjing. Anjing baka padang dan anjing baka pertunjukan kelihatan seperti baka berlainan tetapi didaftarkan bersama-sama. Takungan gen hampir terasing sepenuhnya dan telah terasing sekurang-kurangnya selama 70 tahun.[2] Anjing baka padang tidak kompetitif dalam pertunjukan anjing moden, manakala anjing pertunjukan pula tidak mempunyai kepantasan atau stamina untuk berjaya dalam ujian padang.[3]
Springerspaniel Inggeris baka padang cenderung untuk mempunyai lapis bulu lebih pendek dan lebih kasar berbanding dengan anjing baka pertunjukan. Telinganya kurang tergantung. Anjing baka padang berbulu dawai dan mempunyai rupa lebih jalang daripada yang dibiakbakakan untuk penunjukan. Ekor anjing baka padang mungkin dipotong sehingga sepanjang beberapa inci berbanding dengan anjing pertunjukan. Anjing baka padang dipilih kerana deria bau, keupayaan perburuan, dan gerak balas terhadap pelatihan berbanding dengan penampilan.[3]
Anjing pertunjukan mempunyai bulu lebih panjang dan telinga lebih tergantung, gelambir, dan flews tergantung. Ekornya terpotong sehingga menjadi ekor kontot di negara-negara yang mengizinkan pemotongan ekor. Ia pada umumnya lebih bertulang tebal dan lebih berat daripada springerspaniel baka padang.[3]
Springerspaniel adalah serupa dengan kokerspaniel Inggeris dan pada pandangan pertama, satu-satunya perbezaan besar ialah saiz lebih kecil kokerspaniel Inggeris. Walau bagaimanapun, springerspaniel Inggeris juga cenderung untuk mempunyai telinga lebih pendek dan terletak lebih tinggi daripada kokerspaniel Inggeris. Springerspaniel juga cenderung untuk mempunyai muncung lebih panjang; matanya tidak begitu menyerlah dan lapis bulunya kurang banyak.[4]
Bulu dan warna
Anjing baka padang cenderung untuk mempunyai lapis bulu lebih pendek dan lebih kasar daripada anjing baka pertunjukan yang berbulu lebih panjang. Lapis bulunya biasanya hanya gugur pada musim panas dan musim bunga tetapi kadang-kadang gugur pada musim luruh.[2]Lapis bulunya mungkin terdapat dengan warna hitam atau hati (perang gelap) dengan tanda-tanda putih atau putih meluas dengan tanda-tanda hitam atau hati; biru atau hati kemerah-merahan; atau triwarna yang terdiri daripada hitam dan putih atau hati dan putih dengan tanda-tanda sawo matang, biasanya terdapat pada kening, pipi, bahagian dalam telinga, dan di bawah ekor. Mana-mana bahagian putih pada lapis bulunya mungkin berbintik-bintik.[5]
Saiz
Jantan daripada susur galur anjing pertunjukan biasanya hampir-hampir setinggi 19–21 inci (48–53 cm) pada paras kelasa dan berukuran seberat 40–60 lb (18–27 kg). Menurut piawaian baka United Kingdom, springerspaniel Inggeris patut berukuran setinggi 20 inci (51 cm) pada paras kelasa. Betina pula patut berukuran setinggi 18–20 inci (46–51 cm) dan biasanya seberat 35–55 lb (16–25 kg). Jenis pekerja dapat menjadi lebih ringan dan bertulang lebih halus.[6]
Kesihatan
Sebuah kajian United Kingdom tahun 2022 mendapati jangka hayat sebanyak 11.92 tahun untuk baka ini yang lebih daripada purata 11.23 tahun.[7] Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 pula mendapati jangka hayat sebanyak 13.5 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[8] Sebuah kajian Sweden tahun 2005 mendapati bahawa 29% daripada jumlah springerspaniel Inggeris mati menjelang usia 10 tahun, yang lebih rendah daripada kadar keseluruhan pada 35% daripada jumlah anjing yang mati menjelang usia 10 tahun.[9]
Sebuah kajian Amerika yang menyemak lebih daripada sejuta kes yang dibentangkan kepada 27 buah hospital pengajar veterinar di Amerika Utara mendapat bahawa springerspaniel Inggeris cenderung terhadap displasia pinggul anjing, dengan 4.39% daripada populasi anjing yang menghidap keadaan ini berbanding dengan 3.52% secara keseluruhan.[11] Tinjauan anggota kelab baka United Kingdom mendapati kanser sebagai punca paling umum bagi kematian pada 26.7% daripada kematian.[12]
Springerspaniel Inggeris mempunyai kecenderungan terhadap hepatitis kronik. Bentuk hepatitis kronik pada baka ini adalah lebih parah, menjejaskan anjing lebih muda, dan lebih berkemungkinan menjejaskan betina.[13] Sebuah kajian mendapati bahawa springerspaniel Inggeris adalah 6.3 kali lebih berkemungkinan menghidap penyakit ini.[14] Sebuah lagi kajian mendapati nisbah kemungkinan sebanyak 5.3.[15]
Sejarah
Pakar perubatan Inggeris John Caius memerihalkan spaniel dalam buku beliau Treatise of Englishe Dogs yang diterbitkan pada tahun 1576. Buku beliau ialah karya pertama yang memerihalkan pelbagai baka British mengikut fungsi.[16] Menjelang tahun 1801, Sydenham Edwards menjelaskan dalam Cynographia Britannica bahawa spaniel darat harus dipisahkan kepada dua jenis, springing, hawking spaniel, atau starter; dan cocking atau cocker spaniel.[16]
Pada ketika ini, kedua-dua kokerspaniel dan springerspaniel lahir dalam perinduk sama. Tujuan baka ini adalah untuk berfungsi sebagai anjing pemburu. Cocker lebih kecil digunakan untuk memburu woodcock, manakala rakan seperinduk lebih besar, iaitu springerspaniel, "men-spring"—atau menggarah—burung buruan ke udara supaya falkon atau helang sawah terlatih membawanya kepada pengendali.[17]
Banyak baka spaniel dikembangkan pada abad ke-19 dan kerap dinamai sempena kaunti yang menjadi tempat perkembangannya, atau sempena pemiliknya, yang biasanya tergolong sebagai bangsawan. Dua strain spaniel darat lebih besar adalah banyak dan dikatakan tergolong dalam "jenis springer sebenar". Anjing ini merupakan spaniel Norfolk dan spaniel Shropshire, dan menjelang tahun 1850-an, anjing ini ditunjukkan atas nama baka spaniel Norfolk.[18]
Pada Januari 1899, Spaniel Club of England dan Sporting Spaniel Society mengadakan ujian mereka bersama-sama buat kali pertama. Tiga tahun kemudian, pada tahun 1902, gabungan piawaian fizikal daripada Spaniel Club of England dan piawaian kebolehan daripada Sporting Spaniel Society membawa kepada pengiktirafan rasmi baka springerspaniel Inggeris oleh The Kennel Club Inggeris. American Kennel Club menyusul pada tahun 1910.[18] Pada tahun 1914, Juara Padang Inggeris pertama dinobatkan, iaitu FTC Rivington Sam, yang ibunya merupakan seekor kokerspaniel berdaftar, iaitu Rivington Riband. Sam dianggap sebagai salah seekor bapa pengasas untuk susur galur padang moden.[18]
^ abc"English Springer spaniel" [Springerspaniel Inggeris] (dalam bahasa Inggeris). Springer Spaniel. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Mei 2010. Dicapai pada 9 Mac 2024.
^Hnilica, Keith A.; Patterson, Adam P., penyunting (19 September 2016). Small Animal Dermatology: A Color Atlas and Therapeutic Guide [Dermatologi Haiwan Kecil: Atlas Berwarna dan Panduan Terapi] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-4). St. Louis, Missouri, Amerika Syarikat: Saunders. doi:10.1016/C2014-0-01191-4. ISBN9780323376518. OCLC1052802486.
^Adams, Vicki Jean; Evans, Katy M.; Sampson, Jeffery; Wood, James Lionel Norman (1 Oktober 2010). "Methods and mortality results of a health survey of purebred dogs in the UK" [Kaedah dan keputusan mortaliti tinjauan kesihatan anjing baka tulen di United Kingdom]. Journal of Small Animal Practice (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 51 (10): 512–524. doi:10.1111/j.1748-5827.2010.00974.x. ISSN1748-5827. PMID21029096. S2CID36903216.
^Bandara, Yuvani; Bayton, William A.; Williams, Timothy Lee; Scase, Timothy J.; Bexfield, Nicholas Henry (21 Jun 2021). "Histopathological frequency of canine hepatobiliary disease in the United Kingdom" [Kekerapan histopatologi penyakit hati hempedu anjing di United Kingdom]. Journal of Small Animal Practice (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 62 (9): 730–736. doi:10.1111/jsap.13354. ISSN1748-5827. PMID34155648. S2CID235595314Check |s2cid= value (bantuan).
^ abMinudes, Mindy (3 Mac 2002). "An English Springer History" [Sejarah Springer Inggeris] (dalam bahasa Inggeris). ariel-ess.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Januari 2010. Dicapai pada 9 Mac 2024.
^ abcSligar, Cheryl. "A Brief Early History of the English Springer Spaniel" [Sejarah Awal Singkat Springerspaniel Inggeris] (dalam bahasa Inggeris). CJ's West Wings Field Bred English Springer Spaniels. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 September 2009. Dicapai pada 9 Mac 2024.